Antara Kasih, Sayang Dan Cinta



Tiga perkataan yang nampak seakan sama untuk diterjemahkan, namun jika diteliti membawa kepada pengertian yang sangat berbeza. Pengertian tiga perkataan ini memberikan makna yang sangat mendalam untuk difahami. Emosi dan tindakan juga sebenarnya menggambarkan bahawa kasih, sayang dan cinta mempunyai perbezaan walaupun sedikit.


Kasih..
Kita sering mengucapkan kalimah basmalah yang membawa maksud “Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”. Allah SWT sebenarnya sangat mengasihi kita sebagai hambaNya. Dan jika kita halusi mengapa Allah SWT mengasihi manusia sudah tentu hanya kerana Allah SWT mempunyai belas kasihan terhadap hambaNya. Rasa kasih sebenarnya terselit rasa belas kasihan terhadap seseorang. Begitu juga Allah SWT mengasihi kita selayaknya kerana kita lemah dan perlu dikasihani.
Dalam hubungan sesama manusia, kasih kadang-kadang menjadi titik bermulanya rasa sayang dan seterusnya rasa cinta. Dari kasihan akan terbit rasa sayang yang begitu kuat. Sebab itu dalam Bahasa Melayu perkataan kasih selalunya digabungkan sekali dengan perkataan sayang. Jadi tidak hairanlah mengapa Rasulullah sendiri berkahwin dengan isteri-isterinya yang banyak kekurangan. Rasa belas kasihan kerana tidak mampu melihat kesusahan wanita-wanita yang kehilangan suami kerana syahid telah mengangkat baginda untuk menyayangi dan mencintai mereka sebagai isteri.


Sayang..
Perkataan yang sukar untuk dibezakan dan diterjemahkan terutama dalam hubungan perasaan sesama manusia. Menyayangi seseorang belum tentu mencapai tahap mencintai kerana menyayangi lebih luas skopnya berbanding mengasihi. Anda mungkin menyayangi sahabat anda, keluarga anda, guru anda atau sesiapa sahaja. Tetapi berbeza jika anda mengatakan bahawa anda menyayangi isteri anda. Kerana rasa sayang kepada isteri sebagai teman hidup memberikan maksud anda mencintai pasangan anda sedalam-dalamnya.
Namun fahamilah, sebenarnya rasa sayang sudah memadai untuk anda melihat pengorbanan yang bakal dilakukan oleh orang yang menyayangi anda. Pengorbanan yang mungkin dilakukan luar dari kebiasaan emosi manusia. Rasa sayang akan memberikan kesan yang berpanjangan sama ada anda sebagai orang yang menyayangi dan disayangi kerana rasa akan dapat dihalusi wujudnya keikhlasan dalam setiap tindakan yang dilakukannya. Keikhlasan inilah yang akan memberikan rasa sayang berpanjangan dan terus mendoakan kebahagiaan untuk orang yang tersayang.


Cinta..
Percintaan sudah tentu dikaitkan dengan rasa kasih sayang. Menggambarkan bahawa bila menyebut cinta sudah tentu akan ada rasa kasih dan sayang kepada seseorang. Bila mencintai seseorang, tersiratnya anda mempunyai rasa sayang yang ikhlas dan menerima diri pasangan anda seadanya. Anda hanya memikirkan dirinya, perkongsian hidup bersama dan juga kebahagiaan masa depan bersama.
Cinta terlalu kompleks untuk dihuraikan. Kerana cinta membawa pelbagai istilah yang memberikan maksud yang berbeza. Dalam satu pepatah arab, mendefinisikan cinta itu pekak dan buta. Rasa cinta yang terlalu mendalam akan memekakkan telinga untuk kita menerima segala nasihat daripada orang lain. Segala keputusan kebanyakannya diputuskan sendiri. Cinta juga akan membutakan mata untuk melihat kelemahan-kelemahan pada diri orang yang dicintai sekalipun nampak jelas di mata orang lain.
Cinta mampu memberikan rasa gembira kepada pasangan, tetapi cinta juga memberikan luka yang sukar untuk diubati. Cinta membahagiakan bila berjaya hidup bersama pasangan dan sangat memedihkan bila gagal. Itulah kelebihan dan kelemahan cinta. Kerana pengertian cinta selalunya disandarkan hanya pada manusia. Manusia tidak sempurna. Jika pengertian cinta ini disandarkan pada Allah Yang Esa, sudah pasti tidak akan wujud istilah putus cinta.




Pesanan Untuk Jiwa Kecewa



Mungkin dirimu ditinggalkan,
Mungkin dirimu menyendiri,
Mungkin dirimu di kelilingi,
Mungkin kau hanya mencari,
Masih belum kau ketemu,
Kerana kau tidak tahu,
Apa yang sebenarnya hilang.
Mungkin kau bersedih,
Mungkin kau bergembira,
Mungkin kau biasa-biasa saja,
Namun, kosong itu masih ada.
Pernahkah?
Pada satu ketika kau menyendiri,
Tanpa sesiapa di sisi,
Kau merasa sedih, mungkin juga benci,
Benci dengan semua makhluk di sekeliling,
Kerana mereka meninggalkanmu.
Pernahkah kau bersedih kerana diri tidak dipeduli,
Kerana diri tidak sehebat manusia lain,
Lalu di situ kau terduduk,
Menangis samada luar atau dalam hati.
Tiba-tiba terdengar satu suara halus,
Yang memujuk hati agar jangan bersedih,
Yang memberitahumu bahawa kau tidak keseorangan,
Yang meyakinkanmu bahawa awan hitam akan berarak pergi,
Matahari pula akan bersinar kembali.

Dalam masa yang sama,
Ada juga satu suara garau,
Yang menyuruhmu untuk tidak mempedulikan itu semua,
Segalanya mustahil, mana mungkin ada peneman setia,
Yang sanggup mendengar segala keluh-kesahmu,
Yang sanggup memaafkan walau menggunung tinggi dosamu,
Yang sanggup menerima usahamu walaupun tidak sehebat insan lain,
Yang tidak pernah sekalipun menolak untuk berada di sisimu.
Namun, suara halus tadi itu kian sayup-sayup kedengaran,
Kemudian hilang ditenggelamkan suara garau yang menambahkan kebencian di hati,
Tanpa sedar dirimu dikemudi amarah,
Mencari kesilapan, mencari kesalahan.
Mungkin pernah,
Dirimu merasakan tiada gunanya menjadi baik,
Kerana akhirnya kau hanya dikhianati, dibenci dan dicaci maki,
Lalu kau mengalah dan ingin berubah menjadi jahat,
Lalu kau biarkan kerana mahu mengelak dari terluka.
Pernahkah kau terfikir?
Andainya Rasulullah S.A.W juga berpendirian sepertimu,
Mungkinkah Islam akan tersebar ke seluruh dunia?
Oh, itu Rasulullah S.A.W! Bukan aku,
Baginda maksum dan aku tidak.
Buat kau yang bernama diri,
Maksumnya junjungan kita,
Tidak membuatkan baginda bukan manusia,
Baginda juga punya hati juga punya perasaan,
Baginda juga punya perasaan sedih,
Juga pernah mengalirkan air mata.
Pernahkah Rasulullah S.A.W beralasan sepertimu?
Pernahkah Rasulullah S.A.W membiarkan suara garau itu menang?
Meski dituduh pelbagai macam,
Ditohmah dengan pelbagai caci-maki,
Malah diancam bunuh.
Tidak!
Baginda tidak pernah membiarkan suara garau itu menang,
Kerana baginda tahu, suara halus itu,
Adalah kasih sayang daripada Allah,
Yang seringkali insan abaikan,
Yang seringkali dinafikan,
Yang seringkali bergema dalam minda,
Namun jarang sekali dibiarkan terus bergema,
Untuk terus membasahi hati yang dahagakan cinta-Nya.
Kau tahu apa yang kau hilang?
Itulah dia, kau hilang cintamu kepada Tuhan,
Jadi, buat kau yang bernama diri,
Duduk, diam dan fikir,
Dengarlah suara halus itu,
Carilah kembali apa yang kau hilang,
Kerana hanya dengan itu,
Hatimu akan kembali terisi,
Kelak, tiada lagi lubang yang mampu suara garau itu duduki.
“Bersyukurlah andai memiliki hati yang sering dilukai, kerana dengannya kita belajar menjadi seorang yang lebih mengerti, memahami dan menghargai.”

Jangan Menunggu..


Jangan apa?

Jangan menunggu BAHAGIA baru TERSENYUM, tapi tersenyumlah, maka kamu akan bahagia..
Jangan menunggu KAYA baru BERSEDEKAH, tapi bersedekahlah, maka kamu semakin kaya..
Jangan menunggu TERMOTIVASI baru BERGERAK, tapi bergeraklah, maka kamu akan termotivasi..
Jangan menunggu DIPEDULIKAN orang baru kamu PEDULI, tapi pedulilah tentang orang lain. Maka kamu akan dipedulikan..
Jangan menunggu orang MEMAHAMI kamu baru kamu memahami mereka, tapi fahamilah orang itu, maka orang itu faham dengan kamu..
Jangan menunggu TERINSPIRASI baru MENULIS,tapi menulislah, maka inspirasi akan hadir dalam tulisanmu..
Jangan menunggu HOMEWORK baru BEKERJA, tapi bekerjalah, maka homework kamu akan menunggumu..
Jangan menunggu DICINTAI baru MENCINTAI, tapi belajarlah mencintai,maka kamu akan dicintai..
Jangan menunggu banyak RUANG baru hidup TENANG, tapi hiduplah dengan tenang. Percayalah…bukan sekadar ruang yang datang tapi juga rezeki yang lainnya..
Jangan menunggu CONTOH baru bergerak MENGIKUTI, tapi bergeraklah,maka kamu akan menjadi contoh yang diikuti..
Jangan menunggu BERJAYA baru BERSYUKUR,tapi bersyukurlah, maka akan bertambah kejayaan..
Jangan menunggu MAMPU baru MELAKUKAN, tapi lakukanlah..
Jangan menunggu sudah TUA BARU BERTAUBAT,kerana KEMATIAN menjemput bila-bila masa..

Renung-renungkan..

Berjalanlah dengan penuh HARAPAN walau hidup ini tidak selalu BAHAGIA..
SEDEKAHKANLAH satu SENYUMAN walau dihatimu tidak lagi mampu bertahan..
BELAJARLAH memaafkan walau dirimu terLuKa..
BERHENTILAH memberi ALASAN walau ingin menyatakan KEBENARAN..
HIDUPLAH dalam IMAN walau hari dipenuhi DUGAAN..
BERPEGANGLAH kepada ALLah walau DIA tidak KELIHATAN…

Aku & Rahsia


Memang senyuman selalu menghias wajahku
Memang tawa selalu menghias bibirku
Tapi pernahkah kalian tahu
Bahawa sebenarnya hatiku tersayat sedih
Betapa kalian tidak tahu
Kalau dalam senyum itu terlukis puing-puing kesedihan..
Dan kalian tak mengerti, kalau hatiku bergelumung dalam rahsia
Jangan kalian cuba menanyaku, aku sengaja menyembunyikan semuanya
Kerana aku tak ingin kalian turut sama dalam kesedihan.
Aku tak ingin kalian turut berduka kerana aku
Aku tak ingin kalian mengetahui siapa aku sebenarnya
Itulah sebabnya, Aku selalu memaksa diriku untuk tersenyum
Walau segalanya tersembunyi, terjepit tangis yang pilu…

Nasihat :

Ketawa di sebalik kedukaan adalah untuk menutup rasa kecewa. Memang amat sukar untuk mengukir sebuah senyuman tatkala hati sedang terluka, namun percayalah setiap kelukaan ada ubatnya. Merahsiakan rahsia hati di riak wajah adalah nikmat ALLAH yang besar!
Usah terlalu gundah, usah mudah mengalah. Percayalah kalah bukan bermakna lemah. Kalah juga bukan bererti kita cepat menyerah.
”Kekalahan” untuk sesuatu kebaikan adalah bukti ”kemenangan”
ALLAH menguji keikhlasan apabila bersendirian. ALLAH memberi kedewasaan apabila ditimpa masalah. ALLAH melatih kesabaran dlm kesakitan. Dan ALLAH tidak pernah mengambil sesuatu yg kita sayang, kecuali menggantikannya dengan yg lebih baik..InsyaALLAH.

Kamu Dan Saya Adalah Berbeza..




Setiap orang yang dilahirkan di muka bumi ini pasti memiliki perbezaan. Walaupun dia dilahirkan kembar, dia tetap dilahirkan dengan perbezaan waktu. 
Berbeza..
Dalam kehidupan seharian, kita selalu bertembung dengan perbezaan. Perbezaan seringkali menjadi pencetus masalah sehingga berlanjutan menjadi konflik, apabila kita bertembung dengannya cara yang tidak betul.
Walaupun secara hakikatnya manusia itu sama, tetapi tidak pernah ada manusia yang benar-benar sama dalam segala perkara. Kemiripan wajah, persamaan hobi, atau pertautan rasa yang kuat pun tidak menjadikan kita sama dengan mereka, aku adalah dia dan kamu adalah saya. Kita berbeza dan memiliki perbezaan kerana perbezaan adalah sesuatu yang akan membuatkan hidup kita lebih bererti.
Didalam perbezaan itu, tersimpan erti yang harus difahami. Dengan perbezaan, kita mampu merasakan makna kebersamaan, sehingga kita dapat  memahami bahawa perbezaan adalah alasan untuk sebuah pengertian.
Perbezaan merupakan keadaan, sifat dan ciri yang diciptakan Tuhan dengan tujuan agar manusia saling mengenal, berinteraksi, saling memahami dan memberi manfaat satu sama lain. Memahami dan menghadapi perbezaan, memang bergantung kepada cara kita menyesuaikan perbezaan tersebut.
Allah SWT menciptakan alam semesta dengan segala keunikan perbezaan. Allah menciptakan pula banyak ragam  dalam satu jenis penciptaan. Contohnya  spesies katak, spesies burung, tanaman, dan bangsa – bangsa manusia.
Dia menciptakan perbezaan agar ciptaanNYA dapat saling mengenali dan bersatupadu
Perbezaan dilihat dari sudut perbezaan idea, pendapat dan kepercayaan sehingga kadangkala, jika kita tidak bijak dalam menguruskannya, ia  akan berakhir dengan konflik. Sikap saling menentang  ini mudah sekali untuk mencetuskan pertengkaran. Walaupun pertengkaran itu hanya terjadi dimeja makan atau pun didewan rakyat (kadang – kadang di facebook pun ramai orang bergaduh) . Ini hanya akan memberi kesan yang negatif. Sakit hati,  sakit kepala,  kekecewaan dan mewujudkan kedengkian
Pengalaman adalah guru yang terbaik. 
Pengalaman  selalu dijadikan faktor rujukan dalam menentukan sebuah keputusan. Namun, bukan semestinya pengalaman sahaja penting. Faktor pengalaman bergantung kepada faktor budaya, adat dan sejarah masa lalu.
Biasanya faktor usia yang dijadikan standard ukuran dalam menentukan keputusan, kerana pengalaman hidup yang pernah dialami mahu pun pengalama yang diceritakan oleh orang lain agar menjadi pertimbangan dalam menentukan keputusan.
Faktor penting yang lain adalah faktor agama atau Syariat. Agama Islam diturunkan oleh Allah untuk membimbing manusia supaya tidak terkeluar dari landasan hidup.  Kerana pada asasnya,  manusia normal masih belum dapat menerima segala sesuatu perbezaan itu dengan sepenuh hati. Disini pentingnya agama. Agama (Islam) akan memberikan motivasi kepada manusia agar terus berpegang pada prinsip – prinsip yang sewajarnya.  
So,  let’s we’re think out of the box.
Sahabat, marilah belajar  dalam berbezaan pendapat dan carilah persamaannya.
Bukankah orang yang berbeza pendapat itu bagus ( jika tutur kata, penyampaian, ekspresi yang dilakukan dengan baik, bijak, dan santun)  Kalau semua orang pendapatnya sama.. buat apa bermesyuarat ramai -ramai, kan? Baik sorang – sorang sahaja.
Bukankah,
Kita memerlukan  pendapat yang berbeza supaya dapat  menambahkan wawasan kita.
Kita memerlukan pendapat yang berbeza supaya dapat mengukur idea kita (benar atau tidak, terpulang..)
Kita memerlukan pendapat yang berbeza supaya kita  semakin matang & kuat
Walaupun perbezaan pendapat itu baik, tetapi ada baiknya kita mengawal perbezaan kita itu terutama dalam sesuatu majlis, supaya keadaan menjadi harmoni. Dibawah adalah beberapa tips yang berguna :

Pertama, Jangan terlalu menonjolkan perbezaan.
Seseorang ataupun sesuatu bangsa akan rapuh jika tidak dapat menguruskan  perbezaan. ”Jangan sibuk melihat perbezaan sebelum sibuk melihat persamaan. Jika kita terus – menerus mempertikaikan perbezaan maka semua akan jadi musuh.
Beza pendapat adalah wahana saling melengkapi

Kedua, jangan sibuk menonjolkan diri sendiri.
Makin sibuk seseorang menonjolkan diri sendiri, dia akan semakin tidak disukai oleh orang disekitarnya.  Oleh kerana itu berhentilah menyebut kebaikan – kebaikan diri sendiri atau rasa kita sudah berjasa besar.
”Semakin ingin kita dipuji dan semakin ingin dihormati, semakin ramai yang akan sakit hati. Kalau ingin dihargai jangan overacting.
Jadilah seperti Jantung.  Tidak pernah banyak cakap. Namun, jantung selalu bekerja setiap hari tanpa henti.
Jadilah seorang yang Ikhlas. Orang yang ikhlas  pandai menyembunyikan kebaikannya sebagaimana menyembunyikan keburukannya.
Saidina Ali RA pernah mengatakan bahawa orang yang ikhlas sekecil mana pun kebaikannya, Maka Allah yang membesar-besarkannya. Tetapi Orang yang riya’  maka Allah yang akan menghina orang yang riya tersebut.
Dikisahkan  Abu BakarAssiddiq Ra  selalu gementar apabila dipuji orang. “Ya ALLAH, jadikan diriku lebih baik daripada sangkaan mereka, janganlah Engkau hukum aku kerana ucapan mereka dan ampunilah daku lantaran ketidaktahuan mereka”
“Tempatkanlah sesuatu pada tempatnya dan kena dengan kesesuaiannya”

Ketiga, jangan meremehkan orang lain.
Seseorang  tidak akan dapat berkerja dengan baik  jika tidak mampu menghargai kerja orang lain.
Ketika Nabi Isa AS dihina oleh orang lain. Nabi Isa menjawab dengan perkataan yang baik, beliau berkata “Setiap orang akan menafkahkan apa yang dimilikinya”

Keempat, Memulakan sesuatu dari diri sendiri.
”Kalau ingin berjaya, berhentilah berharap dari orang lain. Sandarkan harapan hanya pada Allah semata – mata.”
Berbuatlah kebajikan untuk orang lain. Seikhlas dan semampu yang kita lakukan walaupun bernilai kecil. Dan jangan pula kita mengarah orang lain berbuat kebajikan sedangkan kita tidak
Orang yang terlalu sibuk menuntut orang lain, tanpa berbuat sesuatu. Dialah yang akan dibinasakan oleh tuntutannya itu sendiri.  Ukhuwah itu tidak boleh terpupuk dengan menuntut orang lain. Ukhuwah dan persatuan itu syaratnya adalah menuntut diri sendiri.


Penutup
Al-Imam Ali bin Abi Thalib RA. Berkata : ”Dunia itu selalu bergerak menjauh dari kehidupan manusia, sedangkan akhirat selalu bergerak mendekatinya. Masing-masing dari keduanya mempunyai hamba yang setia kepadanya. Maka, jadilah kamu sekalian sebagai hamba akhirat dan janganlah kamu sekalian menjadi hamba dunia. Sesungguhnya di dunia inilah tempat beramal dan tidak ada penghisaban, sedangkan di akhirat nanti adalah saat penghisaban dan bukan tempat beramal”

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...